PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memandang serius dakwaan yang tular di media sosial berhubung pengguna didakwa menerima kuantiti petrol RON95 yang berkurangan serta berkualiti rendah selepas pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95.
Susulan itu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali telah mengarahkan tindakan segera diambil bagi memastikan isu ini disiasat secara telus, demi melindungi hak pengguna.
“Hasil tindakan awal, KPDN telah menerima enam aduan rasmi berkaitan kuantiti petrol RON95, namun sehingga kini tiada sebarang laporan rasmi diterima berhubung isu kualiti rendah bahan api tersebut.
“Pemeriksaan dan siasatan menyeluruh telah dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDN termasuk pemeriksaan ke atas pam minyak, verifikasi rekod dan semakan teknikal di stesen minyak. Hasil siasatan mendapati tiada pelanggaran undang-undang dikesan setakat ini,” jelas Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan di sini, semalam.
KPDN menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti RON95 yang dijual kepada pengguna.
Namun kementerian akan terus menjalankan pemeriksaan berkala termasuk ujian ketepatan sukatan dan pengambilan sampel secara rawak.
KPDN turut memberi amaran tegas bahawa mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi syarikat dan RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun bagi individu, atau kedua-duanya sekali.
Aduan rasmi boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.






