SHAH ALAM, SELANGOR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa istilah ‘payung emas’ yang akan diperolehi wanita sekiranya membenarkan suaminya berpoligami berikutan ia sunnah Rasulullah SAW merupakan HADIS PALSU.
Menurutnya yang dipetik Sinar Harian, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu.
“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi…
“Hukum poligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram. Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
“Berbincang dengan baik, beri nasihat dan pandangan demi mengelakkan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan anak-anak,” katanya pada laman Twitter miliknya semalam.