KOTA KINABALU, SABAH – PAS Sabah sedia turun padang bagi membantu parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, PAS Sabah masih menunggu arahan daripada PAS pusat untuk bertindak demikian dan mereka bersiap-sedia menghantar sejumlah jentera diperlukan mengikut kawasan yang sudah ditentukan pada pilihan raya itu kelak.
Menurutnya lagi, setakat ini mereka berharap hubungan dijalin antara PAS dengan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus kukuh terutama bagi memutuskan kerjasama pada PRN ini.
“Kita masih menunggu arahan PAS pusat dan tiada halangan untuk turun membantu calon di PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat…
“Bagaimanapun, saya difahamkan perundingan masih dijalankan antara PAS dan MN serta PN berhubung PRN Johor ini, seandainya keputusan sudah ada, kita tetap akan membantu seperti dilakukan pada PRN Melaka yang lalu.
“Kita akan menghantar sejumlah jentera diperlukan mengikut kawasan yang sudah ditentukan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di Kota Kinabalu, semalam.
Sementara itu, Aliakbar berkata, PAS Sabah belum meletakkan sasaran kerusi tertentu untuk ditandingi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Beliau yang dipetik BH turut berkata bahawa pihaknya tidak mahu terlalu berpolitik ketika ini termasuk bagi menentukan kerusi bakal ditandingi, sebaliknya lebih menumpu kepada usaha membantu rakyat.
“PAS Sabah mahu lebih menumpukan perkara berkaitan kebajikan pada masa ini, malah kita menghulurkan bantuan tanpa melihat kawasan tertentu…
“Sebagai contoh, ketika banjir di Kota Marudu baru-baru ini, walaupun PAS secara rasmi belum bertapak di daerah berkenaan, namun kita tetap hadir menghulurkan bantuan,” katanya
Mengulas sambutan Tahun Baharu Cina, Aliakbar berkata, pihaknya mengedarkan limau mandarin dan kuih bahulu kepada masyarakat Cina di sekitar pejabat PAS Sepanggar sebagai simbol kemakmuran dan kegembiraan, selain menghormati masyarakat Tionghua di kawasan terbabit yang menyambut perayaan berkenaan.