MEDAN, INDONESIA – Berang dan kecewa akibat cinta ditolak dan ditinggalkan kekasih, seorang lelaki di sini nekad membakar rumah bapa kepada bekas teman wanitanya setelah hubungan mereka berakhir.
Memetik laporan portal berita tempatan Tribunenews, suspek yang hanya dikenali sebagai ‘S’, 28, dikatakan terlalu berang dan kecewa akibat patah hati selepas kekasihnya, Fitriani, 26, meminta hubungan mereka diputuskan.
Sejurus berlaku perkara itu, dia lalu berkunjung ke rumah Fitriani pada kelmarin dengan membawa sebotol minyak petrol sebelum menyimbahnya di sekitar rumah orang tua wanita itu di Dusun II, Desa Pinangripan, Kecamatan Air Batu, Kabupaten Asahan.
Menurut sumber daripada kakak kepada Fitriani iaitu Erni, 30, dia memberitahu polis bahawa dia telah ternampak kelibat ‘S’ di kawasan rumah mereka sebelum kebakaran berlaku.
“Saya tahu S yang bertanggungjawab atas kejadian ini kerana ketika saya memutuskan hubungan dengannya, dia mengugut mahu mencederakan keluarga saya…
“Polis berkata S kini sedang bersembunyi dan saya berharap dia segera ditangkap atas perbuatannya,” kata Fitriani.
Kejadian kebakaran itu dilaporkan berlaku pada hari Jumaat baru-baru ini pada waktu malam sekitar jam 10.00 malam (waktu tempatan) di mana semua ahli keluarga sedang tidur di rumah ketika itu dan hampir menjadi mangsa sekiranya mereka tidak menyedari bahawa kebakaran telah merebak ke keseluruhan rumah mereka.