KINABATANGAN: Sembilan individu terlibat dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Sukau berhampiran Perumahan Baharu PPSK Felcra pada Ahad malam, termasuk salah sebuah kenderaan daripada rombongan Ahli Parlimen Kinabatangan Naim Moktar.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.08 malam melibatkan sebuah traktor pertanian, SUV Toyota Land Cruiser, dan pikap Mitsubishi Triton.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi Duraisamy berkata, siasatan awal menunjukkan pikap yang datang dari arah belakang dipercayai melanggar bahagian belakang traktor pertanian yang bergerak dari Jalan Sukau ke arah Kinabatangan.
“Pelanggaran itu menyebabkan pikap hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan SUV yang datang dari arah berlawanan,” katanya dalam kenyataan media.
Seorang lelaki yang memandu traktor cedera pada kepala dan badan, manakala pemandu SUV dan dua penumpangnya hanya mengalami kecederaan ringan.
Pemandu pikap bersama empat penumpang lain turut cedera dan kesemuanya dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.
Superintendan Ravi menambah, SUV tersebut dipercayai sebahagian daripada rombongan Ahli Parlimen Kinabatangan dan kejadian tidak melibatkan pemimpin terbabit secara langsung.
Kes kini disiasat mengikut Kaedah Lalulintas 10 LN166/59.






