KOTA KINABALU – Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) dalam satu kenyataan hari ini menyarankan agar Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dibubarkan atas dasar akauntabiliti moral berikutan keruntuhan standard integriti yang melanda pengasas parti berkenaan.
BEBAS menegaskan bahawa walaupun keputusan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) KDM menyaksikan kepimpinan parti kini diterajui oleh anak perempuannya, Priscella Peter, realitinya parti itu didakwa masih berada di bawah pengaruh dan pengawasan kuat Datuk Peter Anthony dari belakang tabir.
Kenyataan itu menyebut langkah pelantikan tersebut tidak mengubah hakikat bahawa penubuhan dan identiti politik KDM masih terikat rapat dengan imej pengasasnya yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan elektrikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut BEBAS, atas kesalahan jenayah pemalsuan tersebut, Peter Anthony telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen. Sabitan dan hukuman berkenaan kemudiannya dikekalkan selepas melalui proses rayuan di mahkamah.
Kenyataan itu menegaskan wujud keperluan mendesak untuk memperkasakan budaya politik berintegriti di Sabah dan menolak sebarang cubaan mengalih perhatian masyarakat dengan membandingkan kes tersebut dengan kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pihaknya mengingatkan bahawa prinsip perundangan negara menetapkan seseorang individu kekal tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah dan kes yang melibatkan dua ADUN GRS terbabit pada waktu ini masih dalam peringkat proses perbicaraan serta belum diputuskan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, situasi yang dihadapi oleh Datuk Peter Anthony adalah jauh berbeza kerana kes beliau telah melalui keseluruhan proses perundangan secara teliti sehingga rayuannya ditolak oleh mahkamah.
BEBAS berkata sebuah wadah politik tidak lagi mempunyai keabsahan moral mahupun kredibiliti untuk memegang mandat rakyat sekiranya asas organisasi tersebut masih digerakkan dari belakang tabir oleh individu yang mempunyai sabitan jenayah.
Menurut BEBAS, isu tersebut bukan semata-mata mengenai kedudukan seseorang individu, sebaliknya menyentuh soal standard integriti yang mahu dibentuk dalam landskap politik Sabah.
“Penanda aras moral politik tempatan tidak boleh direndahkan sama sekali. Rakyat Sabah berhak menuntut parti politik dan pemimpin yang menawarkan diri untuk memegang mandat rakyat supaya meletakkan integriti serta akauntabiliti pada tahap tertinggi.






