KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri merayu agar kerajaan pusat membekalkan segara vaksin ke negeri ini yang ketika ini semakin berkurangan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ekoran permintaan rakyat di negeri ini untuk menerima vaksin semakin hari semakin meningkat.
“Bekalan yang sedia ada sudah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka yang telah mendaftar di MySejahtera atau melalui pendaftaran secara manual…
“Saya difahamkan pihak Hospital terpaksa menangguhnkan tamu janji penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua kerana kekurangan bekalan yang sepatutnya tidak berlaku dalam usaha kita mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, beliau dimaklumkan setakat ini sehingga 11,000 rakyat sehari menerima dos vaksin yang sepatutnya boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari.
Bagaimanapun, bekalan vakisan terhad selain kekangan lain menyebabkan sasaran tersebut sukar di capai.
“Kerajaan telah mempergiatkan pelbagai kempen kesedaran mengenai kebaikan vaksin kepada rakyat Sabah termasuk program Outrech Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ke luar bandar termasuk pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang baru, tapi amat malang bekalan vaksin kita tidak mencukupi,” tegas Bung.
Sehubungan dengan itu Bung meminta kerajaan Pusat khususnya kementerian yang berkaitan agar melihat isu ini sebagai perkara penting agar keadilan bagi penerima vaksin di negeri ini dapat dipenuhi selari dengan Perjanjian Malaysia (MA63).
Menurut Bung, walaupun di Sabah kes positif COVID-19 masih agak terkawal dan sepatutnya Sabah boleh disenaraikan dalam Fasa 2 Pelan Pemulhan Negara, kerajaan Pusat wajar mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah dengan membekalkan vaksin yang mencukupi untuk kegunaan rakyat di negeri ini.
“Banyak negara telah berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 melalui pemberian vaksin kepada rakyatnya, justeru kita perlu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat di negara ini khususnya di Sabah dimana kita mensasarkan 85 peratus rakyat menerima vaksin menjelang Oktober ini,” tambah Bung yang juga ketua UMNO Sabah.