PBS Sokong Keputusan Mahkamah Tinggi Berpihak Pengundi Menentang Politik ‘KATAK’

PBS Sokong Keputusan Mahkamah Tinggi Berpihak Pengundi Menentang Politik ‘KATAK’

0
SHARE

KUALA LUMPUR, SABAH – Parti Bersatu Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada pengundi menentang politik ‘katak’.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menjelaskan bahawa keputusan tersebut mengambarkan bahawa keadilan akhirnya ditegakkan.

“Kita berdoa agar keputusan perbicaraan itu akan memihak kepada pengundi Gombak…

“Sejak penubuhan parti 36 tahun yang lalu, PBS tidak pernah berhenti bersuara menentang pengkhianatan yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat dengan melompat parti tanpa merujuk kepada pengundi mereka,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai pembuka jalan dan salah satu proses memulihkan martabat institusi parlimen.

“Bukan hanya pemimpin yang dipilih, tetapi penjawat awam perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka, terutama keputusan dan impak yang wujud hasil dari kepercayaan yang diberikan oleh pengundi kita…

“Seperti yang diputuskan oleh Mahkamah berkenaan kes tersebut, setiap wakil rakyat yang dipilih memiliki kewajipan fidusiari terhadap pengundi mereka. Kewajipan fidusiari ini berdasarkan kepercayaan. Dan ianya seharusnya diperoleh, bukan dipinjam, dibeli atau ditukar,” tegasnya.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili…

Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), menambah bahawa rakyat akan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi kerana ia akan menetapkan standard baru dalam tingkah laku wakil rakyat dan kualiti perkhidmatan mereka.

“Kualiti seseorang wakil rakyat akan kelihatan melalui amalan prinsip dan legasi politik yang mantap…

“Pada bulan Jun 1995, Dalam ucapan sulung saya di Parlimen pada bulan Jun 1995, ianya tertumpu kepada kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994, selepas hanya lima minggu berkuasa, disebabkan oleh politik ‘katak’.

“Ia memang peristiwa politik yang dahsyat bagi Sabah – sebuah kerajaan yang terpilih ditumbangkan disebabkan amalan politik yang tidak berprinsip oleh wakil rakyat yang dipilih dan dilantik,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu mengatakan kerajaan PBS yang mempunyai majoriti lapan ADUN, termasuk enam yang dilantik, telah tumbang, dan 10 hari selepas kejatuhan, PBS hanya mempunyai lima orang wakil rakyat.

Dalam ucapan sulungnya, Ongkili merayu kepada Parlimen agar memperkenalkan sebuah undang-undang baharu untuk menghentikan politik ‘katak’.

“Sehingga hari ini, PBS berpandangan bahawa hanya Parlimen yang mampu mengharamkan perbuatan seseorang ahli parlimen atau ADUN yang terpilih untuk melompat parti tanpa terlebih dahulu kembali kepada pengundi melalui pilihan raya kecil…

“Saya berpendapat bahawa ianya perlu demi mengembalikan martabat parlimen atau dewan dan meningkatkan taraf Parlimen Malaysia.

“Malangnya, amalan melompat parti masih berlaku sehingga hari ini. Saya tabik hormat kepada keputusan Mahkamah Tinggi. Amalan lompat parti adalah tidak adil, dan tidak dapat dimaafkan,” kata beliau.

PBS berharap keputusan ini dapat menghentikan amalan politik katak di parlimen dan DUN pada masa akan datang.

Akhir bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang difailkan oleh 10 pengundi Gombak terhadapnya atas tuduhan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen di kawasan beliau.

Perbicaraan akan bermula pada 7 hingga 10 Jun 2022 dan pengurusan kes pada 22 April 2022.