KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melahirkan rasa puas hati terhadap keseluruhan keselamatan di negeri ini.
“Berdasarkan taklimat Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah dan pegawai-pegawainya, saya gembira mendengar bahawa kita berada dalam tangan yang baik PDRM,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan dekat di sini pada hari Isnin.
Antara isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu ialah pengembalian semula larangan bot pam di Sabah yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri tahun lepas.
Ketua Menteri meminta polis menyediakan kertas mengenai perkara itu untuk dibentangkan semasa mesyuarat Keselamatan Negeri tahun ini kerana beliau berkata alternatif perlu diberi agar larangan itu dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengarahkan polis Sabah mempertingkatkan pengawasan menjelang pilihan raya presiden negara jiran, Filipina.
Beliau mahu polis memantau keadaan itu memandangkan isu tuntutan Sabah sentiasa menjadi topik hangat digunakan calon presiden Filipina untuk meraih sokongan pengundi.
“Kepanasan pilihan raya presiden Filipina yang akan diadakan pada 9 Mei 2022, perlu dipantau rapi oleh polis kita, khususnya Cawangan Khas,” katanya.
Mengenai isu Sabah dijadikan transit pengedaran dadah terlarang, Hajiji berharap polis akan terus memantau keadaan itu kerana limpahan bahan itu ke negeri itu akan menimbulkan isu sosial yang besar.
Beliau turut mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong yang berada pada taklimat untuk meneliti permohonan tanah untuk membina pangkalan baharu polis marin di bandar ini dan pangkalan Pasukan Gerakan Am Nabawan.
“Permohonan mesti diutamakan kerana ini melibatkan keselamatan dan kedaulatan negeri,” katanya.
Mengenai isu lesen senjata api, Hajiji bersetuju supaya kuasa meluluskan lesen diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah sama seperti di Sarawak.
“Saya akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri,” katanya lagi.
Turut hadir Setiausaha Persekutuan Negeri Dato’ Sarul Bahiyah Abu, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Awang Shaminan Sahari serta pegawai kanan polis Sabah termasuk Timbalan CP, Datuk Jauteh Dikun.





