TAWAU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat menjalankan operasi mengesan seorang lelaki yang dipercayai hilang di kawasan hutan Batu 32, Jalan Kalabakan–Maliau Basin, sejak Selasa lalu.
Mangsa dikenali sebagai Khairul Saharin, 31 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya pada 14 Oktober sekitar jam 4.10 petang.
Difahamkan, kedua-duanya berpisah ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkemahan sebelum mangsa gagal dikesan dan tidak pulang ke rumah.
Cubaan sepupunya untuk menjejaki mangsa melalui aplikasi WhatsApp gagal selepas Khairul memaklumkan bahawa bateri telefonnya hampir kehabisan. Keadaan cuaca hujan turut menyukarkan usaha pencarian awal oleh ahli keluarga.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.50 pagi (16 Oktober) daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan.
Pasukan yang diketuai oleh PBK II Khalik Alli bersama empat anggota bomba kemudian digerakkan ke lokasi sejauh 180 kilometer dari Tawau.
Operasi SAR hari pertama dijalankan bersama 11 anggota PDRM, 3 anggota APM dan 4 anggota PBS Kalabakan, dengan pencarian dilakukan secara berjalan kaki sejauh kira-kira dua kilometer melalui kawasan denai, air terjun, bukit dan sungai.
Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 3.00 petang sebelum disambung semula esok pagi (17 Oktober 2025).
Operasi diketuai oleh Ketua BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin, yang menasihatkan orang awam agar tidak memasuki kawasan hutan tanpa persediaan mencukupi serta memaklumkan lokasi kepada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.






