TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran merangkap Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menzahirkan rasa kesal terhadap penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November 2025 (Sabtu) yang menurutnya tidak mengambil kira sensitiviti keagamaan penganut tertentu di negara ini.
Beliau berkata, penetapan hari Sabtu sebagai hari mengundi menjejaskan keupayaan penganut Seventh-Day Adventist (SDA) dan True Jesus Church untuk menunaikan tanggungjawab mengundi kerana hari tersebut merupakan hari ibadah mereka.
“Hari Sabtu merupakan hari beribadah bagi masyarakat SDA, dan mereka tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti duniawi termasuk mengundi dari matahari terbenam Jumaat hingga matahari terbenam Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Madius, berdasarkan rekod astronomi, matahari akan terbenam pada 5.59 petang pada tarikh tersebut, justeru beliau mencadangkan agar masa pengundian dilanjutkan sehingga jam 7.00 malam bagi memberi peluang kepada penganut berkenaan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi tanpa menjejaskan amalan agama.
Beliau menegaskan bahawa keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Sabtu sebagai hari mengundi seolah-olah tidak menghormati Prinsip Rukun Negara, khususnya “Kepercayaan kepada Tuhan” dan “Kesopanan serta Kesusilaan”.
“Kerajaan dan SPR perlu lebih peka terhadap kepelbagaian agama serta budaya yang menjadi asas keharmonian negara kita,” tambahnya.
Madius turut menegaskan bahawa penetapan tarikh tanpa mengambil kira nilai keagamaan bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Beliau menyeru agar SPR meneliti semula garis panduan penetapan tarikh pilihan raya pada masa hadapan supaya lebih menghormati kepelbagaian kepercayaan rakyat, sejajar dengan semangat Perlembagaan dan prinsip demokrasi yang adil.






