Gambar Murid Cedera Tular, Bukan Dibuli atau Gaduh, Tapi Kemalangan Masa Bermain

Gambar Murid Cedera Tular, Bukan Dibuli atau Gaduh, Tapi Kemalangan Masa Bermain

0
SHARE

SIPITANG: Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah) menafikan dakwaan bahawa insiden melibatkan seorang murid yang cedera dan tular di media sosial berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan, sebaliknya disahkan sebagai kemalangan ketika murid bermain sesama sendiri.

Guru Besar sekolah berkenaan, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab, dalam satu kenyataan rasmi hari ini menjelaskan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur pergaduhan atau perbuatan tidak bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

“Pihak sekolah telah bertindak segera membawa murid yang terlibat ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Gambar yang tular itu sebenarnya dirakam semasa murid berkenaan dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ibu kepada murid berkenaan telah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian, selain memberi jaminan bahawa pihak sekolah akan terus mempertingkat langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Ag Ku Jainuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memahami situasi sebenar dan menegaskan komitmen sekolah untuk menjaga kebajikan serta keselamatan semua murid.