Pendaftaran SIM Telefon Bimbit Diwajibkan Di Filipina Bagi Perangi Penipuan

Pendaftaran SIM Telefon Bimbit Diwajibkan Di Filipina Bagi Perangi Penipuan

0
SHARE
Ferdinand Marcos Jr...

MANILA, FILIPINA – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, semalam menandatangani undang-undang bagi mewajibkan pendaftaran SIM telefon bimbit, satu langkah penting ke arah memerangi penipuan teks, penipuan bank dan maklumat salah.

Undang-undang itu akan memerlukan pengguna memberikan nama penuh dan dokumen pengenalan diri sebelum membeli kad SIM, dengan tujuan menghalang penjenayah daripada menyembunyikan identiti mereka.

“Kita akhirnya akan mencapai apa yang sudah lama tertunggak, cara yang berkesan untuk mengawal pengeluaran kad SIM bagi membendung penyebaran mesej teks spam dan penipuan,” kata Marcos dalam ucapannya yang dipetik Reuters.

Filipina adalah salah satu negara yang mempunyai kadar penembusan telefon pintar tertinggi di Asia, iaitu 61 peratus daripada 110 juta penduduknya.

Orang ramai sangat bergantung kepada peranti mudah alih untuk membeli-belah, pesanan penghantaran makanan dan perbankan semasa wabak.

Bekas Presiden, Rodrigo Duterte, sebelum ini, memveto undang-undang itu kerana peruntukan yang kini dipadamkan, memerlukan pengguna media sosial mendaftarkan identiti dan nombor telefon mereka.

Rodrigo Duterte…

Di bawah undang-undang baharu, pengguna prabayar sedia ada perlu membuat pendaftaran.

Penyedia telekomunikasi negara, yang menyekat lebih satu bilion spam dan mesej teks yang mencurigakan tahun ini, menyambut baik langkah baharu itu.

PLDT berkata, persiapan sedang dijalankan bagi mematuhi keperluan pendaftaran baharu itu, manakala Globe Telecom dan DITO Telecommunity menggesa pelancaran sistem pengenalan nasional yang lebih meluas untuk membantu mengesahkan pengguna.

Ribuan rakyat Filipina kehilangan sejumlah kecil wang mereka kepada kegiatan pancingan data melalui perkhidmatan pesanan ringkas tahun ini, namun hanya sebilangan kecil yang memfailkan aduan rasmi, kata kementerian maklumat dan komunikasi.