PDRM Gerakkan 94,411 Pegawai, Anggota Di Seluruh Negara Hadapi PRU15 – KPN

PDRM Gerakkan 94,411 Pegawai, Anggota Di Seluruh Negara Hadapi PRU15 – KPN

0
SHARE
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani...

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak seramai 94,411 pegawai dan anggotanya daripada 120,557 warga pasukan itu di seluruh negara untuk penugasan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM mengambil maklum pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi memberi laluan untuk PRU15.

Beliau berkata PDRM juga akan bekerjasama dengan semua agensi terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik itu nanti lancar.

“Selain penempatan anggota dan kerjasama dengan SPR, PDRM turut mengatur persediaan untuk berganding bahu dengan agensi penyelamat bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU15…

“PDRM meminta orang ramai agar bekerjasama memainkan peranan agar pilihan raya umum kelak berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkaraperkara sensitif amat diperlukan.

Menurutnya, PDRM komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan ‘pintu belakang’ dan kerajaan ‘tebuk atap’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum pembubaran Parlimen menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang 10 Okt 2022…

Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

– BERNAMA