GRS Pun Tidak Mahu Kerjasama Dengan WARISAN-BN – Nizam

GRS Pun Tidak Mahu Kerjasama Dengan WARISAN-BN – Nizam

0
SHARE
Nizam
Nizam ketika ditemui pemberita

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa parti itu juga tidak ingin untuk menjalinkan hubungan kerjasama bersama Parti Warisan (Warisan) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“GRS pun tidak ingin kerjasama dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Biro Penerangan Gagasan Rakyat di sini pada petang Ahad.

Menurut Nizam yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu lagi, kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatalan pendirian parti tersebut untuk tidak mahu menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN adalah tidak menggugat kekuatan GRS.

Jelasnya lagi, pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam membawa hala tuju Sabah sangat positif dan wajar untuk pihak lawan tercabar serta menabur sebarang tohmahan dan kata-kata.

“Kepimpinan Ketua Menteri kita di Sabah sekarang menjadi sasaran mereka, mereka yang pembangkang ini dan memang begitulah apabila menjadi pembangkang.

“Itu sudah jadi tugas mereka, terus menjadi pembangkang, selalu menidakkan dan menafikan usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan Sabah yang sebenarnya terbukti mengubah dan mencorak ekonomi negeri ini,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Mohd Shafie enggan bekerjasama dengan GRS kerana tindakan gabungan parti itu ‘membeli’ 11 wakil rakyat partinya.

Dalam pada itu, Nizam juga memberitahu bahawa GRS sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi tetapi enggan peduli dengan perancangan jalinan kerjasama Barisan Nasional (BN) UMNO dengan Warisan.

“Kalau ditanya adalah GRS akan adakan perbincangan dengan BN, untuk bekerjasama, jawapannya GRS bersedia, bersedia dengan pelbagai kemungkinan tetapi tidak mahu ambil tahu urusan rancangan kerjasama mereka (BN dan Warisan).

“Saya tidak mahu komen pasal kerjasama antara parti mereka.

“Mau bergabung dan bekerjasama dengan siapa, terpulang kepada mereka dan biarkan mereka.

“Apa yang lebih penting sekarang ini adalah fokus kita yang utama, bangunkan negeri kerana kita masih ada tempoh satu tahun setengah lagi.

“Ada pelbagai lagi yang mesti dilaksanakan, program dan usaha yang hasilnya kita rancang untuk manfaat rakyat dan negeri ini, negeri Sabah,” ujar beliau lagi.