KERJASAMA PIHAK KERAJAAN, NGO JELASKAN GAGASAN MALAYSIA MADANI, SMJ PERLU DITERUSKAN

KERJASAMA PIHAK KERAJAAN, NGO JELASKAN GAGASAN MALAYSIA MADANI, SMJ PERLU DITERUSKAN

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (tiga kiri) dan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad (dua kanan) selepas menyaksikan upacara Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara USIA dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) bagi pengoperasian Pusat Latihan Dakwah USIA - Al-Bukhary di Kampung Marasinsim Kota Marudu pada Majlis Perasmian Penangguhan Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian, Pelaksanaan WAM2CARE Peringkat Zon Tawau di Dewan Masyarakat Tawau ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TAWAU, SABAH – Kerjasama antara pihak kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diteruskan dalam memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan Konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) yang terkandung dalam Pelan Pembangunan SMJ kepada rakyat secara keseluruhannya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu beliau memberikan penghargaan kepada USIA atau Pertubuhan Islam Seluruh Sabah kerana walaupun berstatus NGO, namun telah memainkan peranan yang sangat aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial dan kerja amal.

Sejak dari dahulu lagi katanya, USIA begitu konsisten dengan tanggungjawab dalam
membantu kerajaan untuk memelihara keharmonian dan meningkatkan kesejahteraan.dalam kalangan penduduk negeri Sabah.

“Itulah antara sebab mengapa saya menyarankan agar USIA mengadakan kerjasama atau berkolaborasi dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) untuk mengadakan forum bagi memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan dasar SMJ.

“Kerjasama dan kolaborasi seperti ini harus diteruskan, bukan hanya antara USIA
dengan Pejabat TSKN (Tugas-Tugas Khas) sahaja, bahkan antara Kementerian atau
Jabatan lain bersama dengan mana-mana NGO. Bekerjasamalah anda semua demi
kebaikan dan kepentingan masyarakat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Forum Malaysia
Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian, Pelaksanaan WAM2CARE Peringkat Zon
Tawau dan Upacara Menandatangani MOU Antara USIA dan IKDAR di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Gagasan Malaysia Madani dan Pelan Pembangunan SMJ menjurus
kepada matlamat untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan demi kebajikan dan kebahagiaan seluruh rakyat.

Namun dalam konteks Pelan Pembangunan SMJ, katanya masih terdapat segelintir
orang yang cuba memperkecil-kecilkan atau memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya
yang dipinjam daripada Jata Negeri.

“Pada saya, mereka yang cuba memperlekeh cogankata Sabah Maju Jaya, samalah
seperti memperlekeh usaha dan perjuangan para pemimpin dan pejuang masa silam.
Perlu juga diingat, bahawa Gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukanlah suatu retorik semata-mata.

“Kedua-dua konsep ini telah dirangka dengan teliti demi mencapai kemajuan yang hakiki
untuk negara kita Malaysia dan Negeri Sabah. Antara bukti kejayaan kita melalui Pelan.Pembangunan SMJ ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah telah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah.

“Pada tahun lepas, perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2
billion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan
pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini,” katanya.

Justeru, beliau menyokong penuh penganjuran Forum Malaysia Madani ini sebagai usaha menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke arah membina sebuah negara yang bertamadun, maju dan progresif.

“Gagasan Malaysia Madani ini adalah hala tuju Kerajaan Perpaduan Persekutuan dalam
membawa Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang hebat dalam pelbagai
aspek terutama ekonominya, pembangunan dan kemajuan termasuk pendidikan,
sumber manusia, agama dan budaya.

“Konsep Malaysia Madani adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju
Sabah Maju Jaya yang telah saya perkenalkan pada awal 2021, sebagai matlamat atau dasar hala tuju kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat, terutama kalangan penjawat awam,
selaku nadi penggerak pengurusan dan pentadbiran negeri, untuk terus berusaha dan
bekerja demi membina sebuah negeri yang boleh dibanggakan bersama.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara USIA dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan.(IKDAR) bagi pengoperasian Pusat Latihan Dakwah USIA-Al-Bukhary di Kampung.Marasinsim Kota Marudu.

Ketua Menteri turut melancarkan program Wadah Amal Menteri (WAM2Care) bagi
daerah Tawau, bagi menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada Pelajar-pelajar
di Negeri Sabah; antaranya Bantuan Ehsan Sekolah Sabah (BISBA) dan Bantuan
Aktiviti Persatuan Ibu Bapa Guru (BAGUS).

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Ruslan bin Muharam dan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad.