KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa parti politik yang berpangkalan di Sabah agar menyokong inisiatif untuk bertanding kesemua 73 kerusi.
Ketua Penerangan SAPP, Chin Vui Kai berkata, mereka telah memerhatikan beberapa parti Sabah yang sejajar dengan gabungan politik nasional menghadapi cabaran besar dalam memperjuangkan autonomi negeri dengan sepenuhnya.
“Mereka sering menghadapi kekangan dalam memperjuangkan hak Sabah khususnya dalam struktur membuat keputusan.
“Kami menyeru untuk perpaduan yang kukuh, keazaman, dan rasa tanggungjawab kolektif untuk menunjukkan misi parti-parti politik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata SAPP juga merayu kepada parti bukan berasaskan Sabah supaya menghormati aspirasi rakyat Sabah untuk autonomi politik.
“Kami menggesa mereka untuk mengelak daripada bertanding dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah, mencontohi duluan yang ditetapkan oleh Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, di mana tiada calon diletakkan oleh BN dan PN.
“Ini benar-benar mencerminkan penghormatan terhadap autonomi tiga wilayah Malaysia,” katanya.
Chin berkata SAPP percaya bahawa masa depan Sabah harus ditentukan oleh rakyatnya, sekali gus menegaskan pendiriannya yang tidak berbelah bahagi dalam menjaga autonomi politik Sabah.
“Hanya dengan memastikan parti tempatan bertanding di semua 73 kerusi, kerajaan Sabah boleh membebaskan diri sepenuhnya daripada campur tangan luar dan menegakkan maruah Sabah,” tegasnya.