KOTA BELUD, SABAH – Ketua Bahgian Bersatu Kota Belud, Datuk Japlin Akim mengingatkan umat Islam supaya tidak boros serta mengelakkan pembaziran ketika berpuasa dan menyambut perayaan Aidilfitri.
Japlin berkata, sikap berjimat-cermat itu sebenarnya bergantung kepada diri masing-masing dan hanya mereka yang menentukan berapa banyak wang akan dibelanjakan…
“Ini keputusan (berbelanja) kita bukan keputusan sesiapa. Itu satu perkara kerana duit ini kalau nak ikut belanja tak pernah cukup, tapi kalau tahu berjimat cermat maka perbelanjaan tidak jadi keterlaluan dan mungkin tidak akan menjadi satu beban berat,” katanya.
Beliau berkata semasa di Masjid Kampung Rosok Kota belud semalam.
Japlin turut mengingatkan masyarakat di daerah itu untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada Ramadan kali ini yang menyaksikan negara memasuki fasa endemik.
Beliau berkata ianya selari dengan peralihan ke fasa endemik itu, beberapa kelonggaran telah diberikan kerajaan seperti penganjuran bazar Ramadan.
“Di sinilah kita akan melihat pelbagai kaum dan etnik sebagai sebuah Keluarga Malaysia berkunjung mendapatkan pelbagai juadah makanan dan minuman serta barangan keperluan.
“Namun usahlah kita lupa dan alpa untuk sentiasa mematuhi kepada SOP yang telah ditetapkan…
“Masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada Ramadan kali ini yang menyaksikan negara memasuki fasa endemik kelmarin,” tambahnya.
Katanya, Ramadan bukan sekadar untuk umat Islam menjalani ibadah puasa, namun ia merupakan platform terbaik untuk terus meningkatkan semangat Keluarga Malaysia melalui nilai toleransi, saling menghormati dan meraikan perbezaan yang kita miliki.
Ramadan juga adalah bulan yang mendidik kita menjadi insan yang sabar dan mempunyai nilai empati yang tinggi khususnya kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Atas semangat kebersamaan dan kesyukuran sebagai sebuah keluarga, pada bulan penuh kemuliaan ini marilah kita mengambil seberapa banyak kesempatan untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan,” katanya.