SCC Lancar Aplikasi YONO

SCC Lancar Aplikasi YONO

0
SHARE
Masidi
Masidi (tujuh dari kiri) bergambar kenangan bersama pegawai SCC dan para penerima program CSR ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) melancarkan aplikasi kewangan, YONO, bertujuan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di negeri ini.

Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun berkata, YONO, akronim kepada ‘You Only Need One’, menggambarkan visi platform tunggal yang menawarkan pelbagai rangkaian perkhidmatan bagi memenuhi setiap aspek keperluan kewangan.

“Superapp tersebut diintegrasikan dengan ekosistem DuitNow yang meningkatkan fungsinya agar pengguna dapat mengakses lebih banyak perkhidmatan dan menyertai ekonomi digital dengan lancar.

“YONO Superapp juga dilengkapi e-dompet YONOPay, yang memudahkan kaedah pembayaran bukan sahaja kepada agensi kerajaan tetapi juga para peniaga untuk mengutip bayaran serta tunggakan secara efisien.

“Menerusi YONO, pelbagai transaksi boleh dijejaki semula untuk memastikan ketepatan dan ketelusan dalam rekod-rekod kewangan,” katanya semasa Majlis Pelancaran YONO Superapp di Sabah International Conventional Centre, pada Khamis.

Selain daripada memudahkan dan mempercepatkan pembayaran pelbagai bil, YONO Superapp juga menyediakan pembelian insurans secara digital, melancarkan portfolio pelaburan dan penulisan wasiat.

Masidi turut mengalu-alukan jabatan dan agensi kerajaan negeri agar memanfaatkan aplikasi tersebut bagi memudahkan kebolehcapaian akses perkhidmatan produk masing-masing.

“Ini adalah untuk meminimakan kos, tidak ada keperluan untuk mencipta semula kemudahan serupa yang telah disediakan oleh badan berkanun negeri yang lain.

“Dengan demikian, kita bukan sahaja menggunakan teknologi baharu, tetapi memulakan revolusi digital untuk memperkasakan masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Taitim Tulas berkata semenjak 2005 badan berkanun tersebut telah membayar dividen berjumlah RM 368 juta kepada kerajaan negeri Sabah.

“SCC juga menyumbangkan zakat berjumlah RM1.2 juta dan pembayaran faedah sehingga RM140 juta semenjak 2016.

“Untuk komuniti, bagi yang tidak mendapat kemudahan kredit kewangan, SCC memperkenalkan program khidmat sosial (CSR) semenjak 2005 yang mengutamakan kanak-kanak, wanita dan mereka yang mempunyai kekurangan keupayaan fizikal.

“Kami memperuntukkan RM 5 juta setahun dan secara umumnya telah membelanjakan lebih daripada RM70 juta untuk CSR sejak 2005,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH