Masidi Mahu Aduan Awam Disiasat Segera Tanpa Tunggu Arahan

Masidi Mahu Aduan Awam Disiasat Segera Tanpa Tunggu Arahan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan setiap aduan awam yang dibangkitkan melalui saluran media perlu disiasat dan diambil tindakan segera tanpa perlu menunggu arahan.

Tegas Menteri Kewangan itu, tindakan segera tersebut sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan berintegriti.

Masidi berkata, penjawat awam perlu sentiasa peka dan bertindak proaktif terhadap setiap isu yang dibangkitkan rakyat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus diyakini serta memenuhi kehendak masyarakat.

Beliau turut berharap usaha berterusan dilaksanakan untuk memperkukuh kecekapan dan profesionalisme kakitangan perkhidmatan awam supaya sentiasa responsif terhadap tuntutan semasa, di samping mampu memenuhi harapan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berkualiti.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, Datuk Zainudin Aman, di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut mengucapkan tahniah kepada Zainudin atas pelantikannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pengalaman dan kepimpinan Zainudin akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong agenda pembangunan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.