KOTA KINABALU: Proses awal menaik taraf Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II kini berjalan lancar dengan beberapa fasa perancangan dan pelaksanaan sedang giat dilakukan bagi mewujudkan kemudahan lebih canggih kepada pesakit.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, ruang sedia ada di hospital berkenaan sedang dinaik taraf untuk membentuk seksyen khas bagi Pusat Jantung Sabah.
“Ruang sedia ada sedang dinaik taraf untuk mewujudkan seksyen khas bagi Pusat Jantung Sabah yang lebih canggih. Secara fizikal, kerja menaik taraf belum memasuki fasa itu sepenuhnya, tetapi beberapa fasa sedang dirancang dan dalam proses pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Queen Elizabeth II pada Selasa, bagi menilai operasi hospital serta keperluan petugas dan pesakit.
Menurutnya, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri tinjauan ke hospital di seluruh Sabah, selepas lawatan terdahulu ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan.
“Daripada 24 hospital di Sabah, ini baru yang kedua saya lawati. Lawatan ini penting untuk melihat sendiri cabaran sebenar di lapangan,” katanya.
Julita turut memaklumkan antara isu yang dikenal pasti termasuk aspek keselesaan pesakit dan kakitangan, khususnya kekurangan kemudahan tempat letak kereta di hospital berkenaan.
Katanya, perkara itu memerlukan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Ini penting bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga untuk doktor, jururawat dan kakitangan lain di sini,” jelasnya.
Beliau menegaskan lawatan berterusan akan membantu pihak kementerian mengenal pasti keutamaan sebenar serta menyusun tindakan susulan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Sabah.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KWKKR, Rina Jainal; Setiausaha Tetap KWKKR, Maria Chong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, William Gotulis; serta Pengarah HQE II, Ferro Firdaus Ibrahim.






