KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas mercun dan bunga api bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan berasingan di Lahad Datu dan Sandakan bulan lalu.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Negeri, Saidin Jalaluddin berkata, pada 18 Mac, sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Lahad Datu telah menyerbu sebuah bangunan di Jalan Airport, Lahad Datu.
“Sebanyak 1,482 kotak mercun dan bunga api dirampas, dianggarkan bernilai RM1.13 juta dengan jumlah cukai sebanyak RM737,239,” katanya dalam sidang media semalam.
Manakala dalam kes berasingan, Saidin memaklumkan pada 11 Mac, sepasukan anggota dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Semporna telah menyerbu Terminal Bas Semporna-Kota Kinabalu dan merampas dua kotak yang mengandungi dadah.
Hasil pemeriksaan mendapati kotak tersebut mengandungi bungkusan plastik hitam yang disyaki methamphetamine seberat 40.787 kilogram, dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
“Modus operandi yang digunakan ialah menyembunyikan dan menyeludup dadah melalui terminal bas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.