KUALA LUMPUR – Sabah melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) memperoleh 20 peratus kepentingan dalam North Sabah EOR PSC susulan Perjanjian Farm-Out bersama PETRONAS Carigali (PCSB) di KLCC pada Isnin.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif itu memperkukuh sektor tenaga Sabah dan membuka peluang pelaburan berkualiti tinggi untuk manfaat rakyat.
Pengambilalihan berkuat kuasa 1 Januari 2026 susulan Perjanjian Dasar Induk (HOA) November 2025. SMJE kini memegang 20 peratus kepentingan bukan pengendali, SEA Hibiscus 50 peratus sebagai pengendali, dan PCSB 30 peratus.
North Sabah EOR PSC merangkumi empat medan minyak cetek, 20 platform, dan saluran paip 143 km ke Terminal Labuan.
Langkah ini dijangka meningkatkan pengangkutan kargo SMJE daripada 4.7 pada 2025 ke 7.0 kargo pada 2026.
Timbalan Ketua Menteri II/ Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia menandakan peranan negeri yang lebih matang dalam aktiviti huluan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Selain itu, pertukaran dokumen turut melibatkan HOA untuk Kluster Mutiara (GSA dijangka 2029) dan PSC Kluster Permata bersama Bridge Petroleum Limited di luar pesisir Sabah.






