SABAH MENGALU-ALUKAN AUTONOMI PENUH UNTUK PROJEK BAWAH RM50 JUTA – KM HAJIJI

SABAH MENGALU-ALUKAN AUTONOMI PENUH UNTUK PROJEK BAWAH RM50 JUTA – KM HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan memberi autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan projek di bawah RM50 juta.

“Ia adalah satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas penyerahan kuasa kawal selia sumber gas kita.

“Ia pasti akan membantu dalam kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sentiasa dihalang oleh karenah birokrasi rumit sebelum ini.

“Mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ini sememangnya berita baik,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi memuktamadkan beberapa perkara di bawah MA63, antaranya berkenaan isu geran khas.

Beliau juga menyatakan bahawa jawatan kuasa kerja dan kajian semula mengenai MA63 akan diteruskan di bawah Pengerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain itu, berita baik lain yang dijangka ialah peruntukan tambahan untuk projek lebuh raya Pan Borneo di Sabah bagi mempercepatkan kerja-kerja pembinaan.

Hari ini, dilaporkan Anwar dalam satu sidang media mengumumkan keputusan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak untuk projek sehingga RM50 juta dengan pematuhan  sewajarnya terhadap peraturan kewangan yang ditetapkan.