DBKK Giat Lakukan Pemeriksaan Dan Penggredan Premis Makanan

DBKK Giat Lakukan Pemeriksaan Dan Penggredan Premis Makanan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang giat menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penggredan premis makanan di Bandaraya
Kota Kinabalu bagi memastikan keselamatan makanan di setiap premis makanan adalah terjamin dan selamat untuk dimakan.

DBKK dalam satu kenyataan media di sini, hari ini berkata, pemeriksaan dan penggredan premis makanan telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK ke atas 13 premis makanan pada 25 April 2024 dan 26 April 2024 lalu, di beberapa lokasi antaranya di Taman Putera Jaya, Telipok, TNK Commercial Centre, Plaza Tanjung Aru dan Plaza Alamesra.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sembilan premis makanan telah digredkan, yang mana tiga premis telah mendapat Gred A, lima premis mendapat Gred B dan satu premis mendapat Gred C, manakala empat premis makanan lagi adalah merupakan pemeriksaan susulan.

“Penarafan Bintang Tandas juga telah dijalankan di premis makanan yang diperiksa. Sebanyak empat buah premis makanan telah mendapat tiga Bintang ke atas, dan lima buah premis mendapat dua Bintang ke bawah.

“Kesemua premis telah diberikan teguran dan nasihat untuk membuat pembersihan dan penambahbaikan terhadap tandas premis mereka,” katanya.

Pada masa sama katanya, sebanyak lima premis didapati ada menjalankan kawalan makhluk perosak (‘pest control’) di premis mereka, manakala empat premis lagi belum membuat kawalan makhluk perosak. Keempat-empat premis tersebut telah diberikan teguran dan arahan untuk membuat kawalan makhluk perosak
bagi mengawal kehadiran lipas, lalat dan tikus di premis mereka.

“Sepanjang tempoh pemeriksaan juga, beberapa penemuan telah dikenal pasti iaitu terdapat pengendali makanan yang tidak mempunyai Kad Pengenalan
Pengendali Makanan, pengusaha premis menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian di kawasan kaki lima.

“Selain itu, pengendali makanan tidak mempunyai sijil kursus Latihan Pengendali Makanan, pengusaha premis tidak memiliki Sijil Kesihatan yang sah dan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik setiap masa,” jelasnya.

Lima Notis Penambahbaikan telah dikeluarkan ke atas beberapa premis bagi penemuan-penemuan yang telah dikenal pasti seperti yang dinyatakan di atas.

Dalam pada itu, dua kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 di atas kesalahan pengusaha premis tidak mempunyai Sijil Kesihatan yang sah serta menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian peralatan di kawasan kaki lima.

DBKK terus komited dalam memastikan keselamatan makanan sentiasa terjamin dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa
terhadap premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu.