Armizan Tinjau Kerosakan Jalan di Kinarut, Akan Bincang Penyelesaian Bersama MDP

Armizan Tinjau Kerosakan Jalan di Kinarut, Akan Bincang Penyelesaian Bersama MDP

0
SHARE

PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Daerah Papar bagi mencari pendekatan terbaik menyelesaikan isu kerosakan jalan di beberapa taman perumahan di Kinarut.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada pemimpin setempat serta penduduk Taman Limauan Kinarut dan Taman Sri Kinarut Selatan berhubung keadaan jalan rosak, khususnya di lorong-lorong tertentu yang memerlukan perhatian segera.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas meninjau sendiri keadaan jalan terbabit sejurus selesai menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Surau An-Nur pada Rabu.

Sebelum ini menerima aduan pemimpin setempat dan warga Taman Limauan Kinarut dan Taman Sri Kinarut Selatan berhubung kerosakan jalan di taman-taman tersebut, khususnya di lorong-lorong tertentu.

“Saya memilih untuk menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Surau An-Nur, Taman Limauan Kinarut hari ini dan kemudiannya mengambil kesempatan meninjau keadaan jalan-jalan terlibat,” katanya.

Armizan berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Daerah Papar bagi menentukan kaedah penyelesaian sama ada melalui konsesi penyelenggaraan sedia ada ataupun memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memberi perhatian terhadap keperluan asas rakyat serta memastikan isu infrastruktur yang memberi kesan kepada penduduk setempat dapat ditangani sebaiknya.