Polis Siasat Kes Tular Pelajar Perempuan Dipukul Beramai-Ramai

Polis Siasat Kes Tular Pelajar Perempuan Dipukul Beramai-Ramai

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang pelajar perempuan dipukul beramai-ramai seperti yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, laporan polis dibuat oleh mangsa sendiri pada 23 Mei lalu kira-kira jam 7.51 pagi.

Menurut beliau, mangsa merupakan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 Mei 2026 kira-kira jam 8 pagi di sekitar kawasan Kota Kinabalu.

“Mangsa dipercayai telah dipukul menggunakan tangan oleh lima orang pelajar perempuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

Katanya lagi, siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek merupakan pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu dan dipercayai saling mengenali melalui satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.

“Menurut siasatan, mangsa telah dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum kesemua suspek bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa,” katanya.

Tambah beliau, mangsa turut mendakwa telah diugut supaya tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada ahli keluarga atau pihak polis.

Kejadian itu turut disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.