SPRM Sabah Tahan Enam Suspek Tuntutan Palsu Tiket Penerbangan RM1.3 Juta

SPRM Sabah Tahan Enam Suspek Tuntutan Palsu Tiket Penerbangan RM1.3 Juta

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan empat pegawai awam sebuah badan berkanun Persekutuan dan dua pekerja syarikat agensi pelancongan kerana disyaki terbabit dalam tuntutan palsu pembelian tiket kapal terbang bernilai kira-kira RM1.3 juta.

Menurut sumber, tuntutan itu dibuat menggunakan waran perjalanan udara dengan butiran penerbangan dipercayai dipalsukan, selain tiada tiket sebenar dibekalkan kepada pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Keenam-enam suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia antara lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan kira-kira jam 9.30 malam tadi di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu.

Beliau berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi membantu siasatan lanjut, selain tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dilakukan berdasarkan perkembangan kes.