BEIJING, CHINA – Kerajaan China menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine.
Menurut laporan Daily Mail, republik itu memberitahu bahawa Ukraine bersedia untuk mengukuhkan komunikasi dengan China dalam usaha rundingan ini.
“Kedua-dua negara bersetuju untuk saling bekerjasama dalam memainkan peranan bagi merealisasikan proses gencatan senjata,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa China menambah mereka amat bimbang tentang bahaya kepada orang awam di tengah-tengah pertempuran yang semakin mengganas…
Pengumuman ini dibuat selepas Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Dmytro Kuleba.
Wang turut menyeru agar Rusia dan Ukraine untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu itu melalui rundingan aman.
Namun begitu, Beijing setakat ini enggan mengutuk tindakan Rusia secara terbuka dan tidak menyifatkan operasi ketenteraan itu sebagai pencerobohan.
China berdepan tekanan diplomatik berikutan hubungan baiknya dengan Kremlin malah merupakan salah satu sekutu kuat negara Soviet itu.
Presiden China, Xi Jinping memberitahu Putin bahawa China menghormati kedaulatan serta integriti wilayah semua negara dan menggesa rundingan segers untuk menenangkan krisis itu.
Kini, sekurang-kurangnya dua bank milik negara terbesar China iaitu ICBC dan Bank of China sudah mula menyekat pembelian komoditi Rusia.
Keputusan itu diambil kerana bimbang membenarkan pembiayaan boleh dianggap sebagai sokongan terhadap pencerobohan Moscow dan sekatan risiko daripada Amerika Syarikat dan sekutunya.
Dasar luar China adalah untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain dan ia masih belum mengiktiraf tuntutan Rusia ke atas Crimea.