KOTA KINABALU: Kerajaan negeri kini menawarkan Bantuah Ihsan Komputer (BAIK) bagi tahun 2024 untuk pelajar dari negeri ini yang menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Pelajar yang berminat serta berkelayakan untuk mendapatkan bantuan komputer ini dialu-alukan memohon.
BAIK merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri Sabah dalam usaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk memiliki komputer bagi tujuan pembelajaran.
Program BAIK ini merupakan inisiatif kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang dimulakan sejak tahun 2021 dan diteruskan pada tahun 2022.
Program ini melibatkan para pelajar miskin yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Perlaksanaan inisiatif Fasa 1 yang dijalankan pada tahun lepas melibatkan peruntukan sehingga RM 15 juta dan mampu memberikan manfaat kepada 10,000 orang pelajar.
Syarat Permohonan BAIK Sabah
Pemohon yang berminat untuk memohon perlulah menepati kriteria yang telah ditetapkan seperti berikut :
– Permohonan terbuka kepada pelajar-pelajar IPT berstatus Bumiputera berasal dari Sabah yang memerlukan komputer untuk tujuan pembelajaran.
– Satu komputer hanya untuk satu Ketua Isi Rumah (KIR) sahaja.
– Memberikan justifikasi keperluan komputer riba.
– Ibu dan bapa atau penjaga dalam golongan e-kasih.
– Permohonan hendaklah dibuat hanya melalui online di laman sesawang https://baik.sabah.gov.my/.
– Permohonan hendaklah disertakan dengan Surat beranak (Pemohon & ibu bapa), Salinan Kad Pengenalan/Sijil Cerai/Sijil Kematian (Pemohon & ibu bapa), Slip gaji ibu bapa/Surat pengesahan bekerja (disahkan oleh Pegawai Daerah), Surat Tawaran Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Surat Pengesahan Telah Berdaftar daripada Universiti Tempat Belajar pemohon.