JAKARTA, INDONESIA – Seorang lelaki di Semarang ‘membalas dendam’ bagi pihak burung merpati peliharaannya yang diterkam kucing jirannya sehingga mati dengan menembak mati kucing itu menggunakan pistol airsoft pada Isnin.
Kompas TV melaporkan lelaki yang hanya dikenali sebagai IP, 35, ditahan polis selepas aksi perubuatannya itu ditangkap kamera litar tertutup.
Katanya, pemilik kucing dihubungi oleh saksi yang mengatakan haiwan peliharaannya telah ditembak oleh suspek pada sekitar pukul 10 pagi hari kejadian.
Ketua Polis Semarang, Pesuruhjaya Besar Polis Irwan Anwar berkata pihaknya mendapat beberapa laporan daripada orang ramai mengenai insiden yang tular di media sosial dan segera bertindak menahan suspek.
“Suspek mengaku menembak kucing itu kerana ia kerap membuang air besar di rumahnya.
“Kucing itu juga pernah menerkam burung merpati miliknya.
“Suspek mengaku dia menembak haiwan tersebut sebanyak tiga kali,” katanya.
Turut dirampas ialah pistol replika airsoft yang digunakan suspek.
Bagaimanapun, difahamkan IP telah memberi amaran kepada jirannya untuk tidak melepas liarkan kucing berwarna hitam itu atas sebab-sebab disebut.
Melalui rakaman, suspek yang memakai baju kuning dilihat berjalan ke arah sebuah kereta di hadapan rumah lalu melepaskan tembakan ke arah kucing yang sedang berada di bawah.
Kucing hitam itu kemudian rebah beberapa meter dari kenderaan.






