KOTA KINABALU, SABAH – Pemandu sebuah kenderaan Toyota Hilux maut sejurus keluar dari simpang pusingan-u berhampiran stesen minyak Petron di Iramanis, Jalan Kolombong, sini, pagi tadi.
Seramai lima orang mangsa dan tiga buah kenderaan termasuk sebuah Toyota Aristo dan BMW terlibat dalam pertembungan kira-kira 1 pagi itu.
Pemandu Toyota Hilux, Wilson Kong, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Aristo, Ngu Pei Siong, 30, dan penumpangnya, Alexander Charles Govind, 23, cedera parah.
Pemandu BMW, Hanif Harris Handoyo, 26, cedera ringan dan penumpangnya, Arissa Shafirah Jumat, 25, cedera parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt George Abdul Rakman berkata, kenderaan Toyota Aristo dan BMW 530E dari arah yang bertentangan tidak sempat mengelak Hilux terbabit yang keluar secara mengejut.
“Siasatan awal mendapati kenderaan BMW dan Toyota Aristo bergerak dari arah Inanam menuju ke rumah masing-masing di Likas dan Penampang melalui Jalan Lintas.
“Akibat kejadian itu, pemandu kenderaan Aristo terbabas ke bahu kiri jalan manakala BMW yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak dan merempuh Hilux berkenaan sehingga berpusing ke lorong kanan jalan,” katanya kepada wartawan.
Katanya, kenderaan Aristo mula terbakar dalam kemalangan itu yang mana pemandunya tersepit.
“Walaubagaimanapun, mangsa segera ditarik keluar pemandu BMW dan pekerja stesen minyak turut bantu memadamkan api.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut berkaitan kemalangan terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan,” tambahnya.





