Ladang Sayur Bukit Layang-Layang Jadi Model Pertanian Berimpak Tinggi – Jamawi

Ladang Sayur Bukit Layang-Layang Jadi Model Pertanian Berimpak Tinggi – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Ladang sayur-sayuran di Bukit Layang-Layang, Ulu Paal, berpotensi menjadi model pembangunan pertanian tanah tinggi berimpak tinggi di Sabah melalui kerjasama strategik antara pengusaha, masyarakat tempatan dan agensi kerajaan, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke kawasan itu bersama Jabatan Pertanian Sabah sebelum meneruskan program bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kg. Binaie, baru-baru ini.

Menurutnya, kawasan seluas lebih 20 hektar itu meminimumkan penggunaan bahan kimia dan memberi keutamaan kepada bahan organik dalam pengeluaran sayur-sayuran seperti kobis, bunga kubis, terung, cili dan lada.

“Kawasan ini baru dibangunkan tiga tahun lalu dan pengusahanya berusaha meminimumkan penggunaan racun serta baja kimia. Mereka banyak menggunakan bahan organik seperti teh ayam. Ini adalah pendekatan yang selari dengan hala tuju pertanian mampan yang ingin kita bangunkan di Sabah,” katanya.

Jamawi turut memaklumkan bahawa Jabatan Pertanian telah membantu satu hektar kawasan di ladang berkenaan, manakala selebihnya dibangunkan oleh pengusaha yang menyewa tanah milik masyarakat kampung pada kadar RM100 hingga RM150 sehektar sebulan.

“Apa yang membanggakan, 100 peratus pekerja di ladang ini adalah penduduk tempatan yang menerima gaji minimum RM1,700 termasuk caruman KWSP. Inilah model kerjasama yang ingin kita lihat, pelabur, pengusaha dan masyarakat tempatan berkembang bersama,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, penanaman tanah tinggi di kawasan tersebut juga mampu menjadi alternatif kepada sumber pengeluaran sayur tanah tinggi di Kundasang, sekali gus menambah pilihan kepada pengguna dan mengukuhkan rantaian bekalan makanan Sabah.

“Jika sebelum ini kita hanya bergantung kepada Kundasang, kini Layang-Layang mampu menjadi pusat pengeluaran baharu. Pengguna kini mempunyai pilihan tambahan untuk mendapatkan sayuran tanah tinggi berkualiti,” katanya.

Jamawi turut mengesahkan bahawa kementeriannya menerima beberapa permohonan menaik taraf jalan pertanian serta pembinaan rumah lindungan hujan di kawasan berkenaan.

“Rumah lindungan hujan amat penting terutama untuk tanaman seperti tomato yang sangat sensitif terhadap cuaca tidak menentu. Ia membantu mengurangkan penyakit, mengawal serangan perosak dan memastikan hasil yang lebih konsisten,” jelasnya.

Beliau berharap pembangunan kawasan itu dapat diteruskan melalui sokongan Jabatan Pertanian dan penglibatan aktif pengusaha tempatan.

“Kita mahu kawasan ini berkembang sebagai zon pertanian berpenghasilan tinggi. Jabatan Pertanian akan terus memantau kualiti melalui pengambilan sampel supaya hasil yang dikeluarkan mematuhi paras MRL yang ditetapkan,” tambahnya.