TAWAU: Seorang buruh lelaki yang diburu polis sejak tahun lalu akhirnya ditahan dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di bandar Tawau, tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada kira-kira jam 12 tengah hari.
Penahanan itu berkaitan satu kejadian pada Januari tahun lalu, apabila suspek disyaki mengugut seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dengan mendakwa mangsa menjadi punca rakannya dipenjara.
“Siasatan mendapati suspek merupakan warga tempatan yang mempunyai status dikehendaki (wanted person) bersabit kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan jenayah,” katanya.
ACP Jasmin menegaskan bahawa polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengancam ketenteraman awam.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjaga tingkah laku di tempat awam dan segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.






