Shafie Antara Tiga MP Catat Ketidakhadiran Tertinggi Dalam Sidang Parlimen

Shafie Antara Tiga MP Catat Ketidakhadiran Tertinggi Dalam Sidang Parlimen

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal muncul sebagai satu-satunya Ahli Parlimen dari Sabah yang tersenarai dalam tiga ketua parti mencatat ketidakhadiran tertinggi sepanjang 78 hari persidangan Dewan Rakyat tahun ini, lapor New Straits Times (NST).

Analisis NST berdasarkan rekod kehadiran dalam hansard mendapati Shafie tidak hadir sebanyak 60 hari, menjadikan kadar kehadirannya hanya 23.1 peratus, antara yang paling rendah di Parlimen.

Dua lagi tokoh politik kanan turut mencatat rekod serupa, iaitu bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan 69 hari tidak hadir (kadar kehadiran 11.5 peratus), serta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak hadir 65 hari (16.7 peratus).

Menurut laporan itu, NST telah menghubungi ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan maklum balas. Hishammuddin belum memberikan respons, Abdul Hadi meminta NST merujuk Pejabat Speaker, manakala Shafie enggan mengulas.

Setiap Ahli Parlimen menerima elaun RM400 sehari bagi kehadiran ketika persidangan.

Sebahagian ketidakhadiran Abdul Hadi turut melibatkan 11 hari cuti rasmi yang dimaklumkan mengikut Peraturan Mesyuarat 91. Peraturan ini selari dengan Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan kerusi diisytiharkan kosong jika seorang MP tidak hadir enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran.

Namun, laporan itu menjelaskan ketidakhadiran tidak semestinya bermaksud wakil rakyat tidak bekerja, kerana mereka lazimnya terbabit dalam mesyuarat jawatankuasa pilihan, tugasan luar negara, program kawasan serta urusan kementerian.

Tahun ini menyaksikan perubahan berbanding tahun-tahun sebelumnya, apabila 46 Ahli Parlimen mencatat kehadiran sempurna, majoritinya daripada blok pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN) dengan 26 MP hadir penuh.

Antara Ahli Parlimen yang konsisten hadir dan aktif berbahas termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syerleena Abdul Rashid, Young Syefura Othman, Teresa Kok dan Dr Siti Mastura Muhammad.

Beberapa menteri juga mencatat kehadiran tinggi, antaranya Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang masing-masing hanya tidak hadir dua hari.

Dalam kalangan timbalan menteri, Datuk Aiman Athirah Sabu (1 hari tidak hadir), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (2 hari), serta Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (3 hari) antara yang paling konsisten.

Secara keseluruhan, 51 Ahli Parlimen Pakatan Harapan mencatat kehadiran minimum 75 peratus, diikuti Barisan Nasional (9), Gabungan Parti Sarawak (10), Gabungan Rakyat Sabah (1), Parti Bangsa Malaysia (1), manakala PAS mencatat kehadiran kuat dengan 41 Ahli Parlimen hadir sekurang-kurangnya 59 hari.

Dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing tidak hadir 29 hari, dengan kadar kehadiran 62.8 peratus.

Laporan itu turut menyebut bahawa beberapa MP tidak hadir kerana hukuman penggantungan, termasuk Datuk Awang Hashim (15 hari) dan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (2 hari).