SUKAN SEA: WALAUPUN DALAM KESAKITAN, PESILAT NEGARA TETAP BERJUANG SEHINGGA AKHIR

SUKAN SEA: WALAUPUN DALAM KESAKITAN, PESILAT NEGARA TETAP BERJUANG SEHINGGA AKHIR

0
SHARE

HANOI, VIETNAM – Walaupun mengalami kecederaan dan kesakitan, pesilat negara Mohd Al-Jufferi Jamari dengan semangat waja terus berjuang sehingga ke saat akhir pertandingan demi mengharumkan nama negara.

Pesilat berusia 30 tahun itu cedera di bahagian bahu kanan ketika di pusingan kedua pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Bac Tu Liem sebelum beliau mencatat kemenangan 53-51.

Juara dunia tiga kali itu berjaya mara dalam kelompok empat pesilat terbaik dalam kelas F (70-75 kilogram (kg)) setelah menumpaskan pencabarnya dari Indonesia Iqbal Candra Pratama.

Beliau mengetuai kemaraan empat wakil negara ke peringkat separuh akhir acara silat tanding pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Jumaat…

Sebelum ini, pemenang pingat emas empat kali temasya Sukan SEA itu menguasai kelas E (65-70kg) apabila meraih emas pada edisi 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Untuk rekod, edisi Filipina 2019 menyaksikan Mohd Al Jufferi tidak menyertai temasya berkenaan.

Ahmad Atif Irshad turut mara ke separuh akhir apabila lawannya Mark James Lacao, dibatalkan penyertaan ketika pertarungan baru bermula dengan kedudukan 5-1 berpihak kepada pesilat negara.

Juri membuat keputusan tersebut setelah mendapati tindakan pesilat dari Filipina itu melepaskan tumbukan ke arah muka Ahmad Atif Irshad sehingga tidak dapat meneruskan pertarungan adalah menyalahi peraturan.

Sementara itu, jurulatih negara Mazlan Shaari berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang semakin selesa dengan teknik baharu diterapkan berikutan pelaksanaan sepenuhnya peraturan baharu dalam acara silat tanding pada temasya Sukan SEA kali ini.

Beliau berharap momentum itu dapat diteruskan apabila pesilat negara beraksi dalam saingan separuh akhir pada Ahad.

Malah, beliau berkata kecederaan dialami Mohd Al-Jufferi serta Ahmad Atif Irshad tidak serius dan kedua-dua pesilat itu dapat meneruskan aksi mereka di Hanoi.