Sabah Jadi Inspirasi Terengganu Untuk Bangunkan Segmen CoBT

Sabah Jadi Inspirasi Terengganu Untuk Bangunkan Segmen CoBT

0
SHARE
Datuk Joniston Bangkuai menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu Fadli Yusof Zakaria pada majlis makan malam anjuran Lembaga Pelancongan Sabah, baru-baru ini. - gambar ihsan STB...

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah telah menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada negeri lain yang berminat untuk memajukan segmen pelancongan komuniti luar bandar mereka.

Baru-baru ini, rombongan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu diketuai pengarah Fadli Yusof Zakaria, mengadakan lawatan ke Sabah, di mana mereka berpeluang mengunjungi Kiulu untuk mempelajari secara langsung bagaimana pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) dijalankan.

Mereka melawat Kampung Lingga, di mana penduduk kampung mengusahakan laluan trekking Bukit Dapako dan tapak perkhemahan eko-pelancongan Lingga.

Mereka juga mengunjungi Pusat Rekreasi Kampung Bambangan Lama yang diusahakan oleh komuniti wanita kampung itu.

Perusahaan pelancongan tersebut mempunyai pondok penginapan, tapak perkhemahan dan laluan trekking yang diwujudkan oleh komuniti wanita sendiri.

Wakil Persatuan Pelancongan Kiulu (KTA) turut hadir memberi taklimat kepada rombongan Jabatan Pelancongan Terengganu mengenai sejarah kewujudan tempat pelancongan di Kiulu dan pulangan ekonomi kepada penduduk kampung sebagai sumber pendapatan kedua.

Fadli berkata lawatan pembelajaran tersebut membolehkan mereka untuk melihat secara dekat penskrukturan CoBT yang lebih teratur dan sistematik dengan penglibatan komuniti setempat secara menyeluruh yang membuatkan konsep CoBT di Kiulu berjaya.

“Jabatan Pelancongan Terengganu juga mendapati bahawa kolaborasi antara pengusaha CoBT dan persatuan pelancongan juga dapat menyumbang kepada pengukuhan organisasi, selain dari mempelbagaikan kaedah promosi, termasuk penganjuran pelbagai acara di sesuatu komuniti tersebut,” katanya.

Seperti di Sabah, Fadli berkata Kerajaan Negeri Terengganu turut melihat CoBT mempunyai potensi besar untuk dipasarkan dalam memberkan pelancong dan pengunjung produk baharu yang menyajikan pengalaman percutian yang unik dan menarik.

“Sabah adalah lebih maju dari segi pelaksanaan CoBT kerana telah memulakannya sejak dari tahun 2014. Jadi,

Jabatan Pelancongan Terengganu amat berharap agar pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dapat membantu pihak kami dalam memajukan produk-produk CoBT di Terengganu.

“Produk-produk CoBT di Terengganu mempunyai keunikan tersendiri, dan begitu juga di Sabah. Menerusi lawatan pembelajaran ke Sabah ini, kami mendapati terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bersama antara STB dan pihak Pelancongan Terengganu terutamanya dari segi promosi,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pelancongan Terengganu mula memberi tumpuan kepada segmen CoBT pada tahun 2021 dan sehingga kini telah mengenalpasti sebanyak 28 CoBT di seluruh lapan daerah negeri itu.

Sebanyak 15 CoBT yang dikenalpasti telah bersedia untuk dipasarkan, antaranya adalah Dataran Batu Putih di Marang dan Kalang Warisan di Kuala Terengganu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri merangkap pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Sabah dan Terengganu boleh saling belajar antara satu sama lain bagaimana untuk meningkatkan lagi industri pelancongan bagi menarik pengunjung dari kedua-dua negeri tersebut..

“Kami berbesar hati apabila Terengganu mengambil Sabah sebagai inspirasi dalam inisiatif mereka untuk membangunkan produk CoBT dan memperkasakan komuniti luar bandar mereka…

“Pelancaran laluan penerbangan terus Kota Kinabalu-Kuala Terengganu baru-baru ini juga menunjukkan betapa pentingnya untuk Sabah dan Terengganu bekerjasama bagi merealisasikan matlamat pelancongan masing-masing.

“Saya percaya pihak STB dan Jabatan Pelancongan Terengganu boleh berkolaborasi untuk menggalakkan pengendali CoBT melawat satu sama lain. Ini membolehkan mereka membina hubungan profesional dan bertukar pengetahuan serta pengalaman,” katanya.

Beliau turut berkata laluan penerbangan baharu Air Asia itu memberi faedah kepada para pengembara dan pemain industri pelancongan kerana orang ramai kini mempunyai akses percutian mudah antara Sabah dan Terengganu.

Sementara itu, presiden KTA, Mejin Maginggow, berkata rombongan Jabatan Pelancongan Terengganu teruja dan tertarik dengan cara pengurusan serta kerjasama komuniti dalam mengusahakan CoBT.

“Maklum balas dari pengarah Pelancongan Terengganu kepada lawatan ini, adalah mereka dapat menimba ilmu dan mempelajari bagaimani komuniyi fi Kiulu menjalankan perusahaan pelancongan yang membawa keuntungan.

“Ini adalah sesuatu yang baharu bagi mereka, dan mereka telah memperoleh banyak idea baharu untuk dikongsi bersama dengan pengusaha (pelancongan) di Terengganu, yang kebanyakannya merupakan pengusaha persendirian.

“Lawatan pembelajaran itu juga membolehkan rombongan mendapat pemahaman tentang cara mewujudkan CoBT yang mantap yang mampu menjana pendapatan di negeri Terengganu nanti,” katanya, sambil menambah KTA terbuka untuk berkongsi kepakaran CoBT dengan komuniti luar bandar di negeri lain.