KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan kenyataan Pemuda BERSATI dan UMNO Sabah yang pertikaikan komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memerangi rasuah adalah tuduhan tidak berasas dan berbaur politik.
Jelas Nizam, tuduhan ini tidak berasas dan dilontarkan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
“Sejak menerajui kepimpinan negeri, Ketua Menteri telah memperkenalkan pelbagai langkah reformasi pentadbiran yang berteraskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan serta pemantauan kewangan yang lebih ketat.
“Perlu ditegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan entiti bebas yang bertanggungjawab menyiasat kes-kes rasuah.
“Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri tidak pernah mencampuri proses siasatan, malah memberi kerjasama penuh kepada apa jua tindakan yang diambil oleh agensi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Tambah Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), serangan terhadap Ketua Menteri ini bukan sahaja berniat jahat, malah mencerminkan motif politik pihak parti pembangkang tertentu di Sabah yang cuba mencari ruang untuk kembali relevan setelah rakyat mengetahui modal politik sempit yang mereka tawarkan.
“Rakyat Sabah sudah menyedari akan permainan politik sempit ini, mereka tidak mahu kembali ke era lama Sabah.
“Berbanding dengan retorik politik murahan, pentadbiran Hajiji Noor memilih untuk fokus kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Tindakan terhadap salah laku akan diambil berdasarkan fakta dan proses undang-undang, bukan atas desakan politik,” ujarnya.
Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apaa itu lagi, Hajiji akan terus memimpin dengan integriti dan tidak akan tunduk kepada tekanan pihak yang hanya mahu menangguk di air keruh.