Pandelela Nafi Umur Jadi Punca Kegagalan di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha

Pandelela Nafi Umur Jadi Punca Kegagalan di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha

0
SHARE
Pandelela ketika beraksi di Kejohanan Akuatik, Dunia, Doha.

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menafikan faktor umur menjadi punca kegagalannya untuk beraksi lebih baik dalam Kejohanan Akuatik Dunia, Doha yang berlangsung minggu lalu.

Pandelela, 30 tahun, turut menyifatkan bahawa beliau masih belum mahu bersara biarpun wujud desakan susulan kegagalannya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris pada Julai depan. 

“Penerjun muda sedia ada pun masih belum dapat menyaingi saya. Cuma saya katakan, ada faktor lain yang menggangu pasukan kami ketika ini. Bagi kami, hendak bersara boleh, tetapi atlet ‘junior’ kena berjaya menang mengatasi kami, baru mereka ada peluang untuk lawan dengan penerjun luar negara. Saya boleh kata untuk acara saya (platform), jurangnya masih jauh,” katanya.

Tambahnya lagi, jurang kualiti penerjun negara sedia ada dengan skuad remaja dan pelapis masih terlalu jauh, justeru beliau masih akan tetap memikul tanggungjawab mewakili negara sehingga Malaysia mempunyai barisan penerjun generasi baru yang lebih baik.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia, Doha minggu lalu, ratu terjun negara itu berputih mata setelah terkandas awal dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita, manakala gandingan bersama Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama berakhir di keududukan ke-12.

Bagi mengatasinya, Pandelela menyarankan kem negara perlu memperkasakan semula program terjun agar Malaysia tidak terus ketinggalan di persada dunia.

“Sekarang ini saya kena tengok atlet junior dahulu, peranan saya sekarang adalah mengisi kekosongan dalam pasukan. Sebelum ini saya sudah katakan, program pembangunan kita perlu diperkuatkan.

“Ketika Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini pun saya sudah suarakannya dan memberi amaran, apabila acara wanita dibatalkan, tetapi macam tidak didengari sahaja,” ujarnya.