Berang Ajakan Mencuri Ditolak, Lelaki Pukul Mangsa Guna Buluh Ditahan

Berang Ajakan Mencuri Ditolak, Lelaki Pukul Mangsa Guna Buluh Ditahan

0
SHARE
Foto Ihsan: PDRM Tawau

TAWAU: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes memukul dan mencederakan mangsa di sekitar kawasan Kampung Balung, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak polis telah menerima laporan dari mangsa berhubung kejadian itu pada Jumaat lalu (9 Feb).

Katanya, mangsa telah dipukul dari belakang dengan menggunakan buluh oleh seorang lelaki yang dikenalinya dan menyebabkan tangan kanan mangsa mengalami kesakitan.

Jelasnya, mangsa telah dipukul suspek kerana enggan mengikuti ajakan suspek untuk mencuri di sekitar kawasan Balung. 

“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah tidak bernombor di kampung Jalan Maktab, Balung, Tawau kira-kira jam 1 petang untuk membantu siasatan.

“Suspek juga telah menunjukkan sebatang buluh yang digunakan untuk memukul mangsa yang diletakkan di tepi rumah suspek.

“Suspek dan barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Hasil semakan rekod lampau turut mendapati warga tempatan berusia 23 tahun itu pernah ditahan kerana terlibat dengan kes dadah.