KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan negeri sedia ada memainkan peranan penting dalam meneruskan agenda pembangunan infrastruktur yang tergendala akibat keputusan pentadbiran terdahulu.
Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Azrul merujuk janji Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini berikrar untuk menyelesaikan masalah air di Sabah dalam tempoh setahun sekiranya kembali berkuasa.
Menurut Azrul, janji tersebut mengingatkan rakyat kepada retorik serupa yang pernah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum 2018, ketika Warisan berjanji untuk menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya.
Namun, selepas mengambil alih pentadbiran, beberapa keputusan kerajaan pimpinan Shafie telah menjejaskan kelancaran projek-projek penting negeri.
Beliau menjelaskan bahawa pentadbiran terdahulu membatalkan perjanjian rakan pelaksana (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo, menyebabkan pelaksanaannya tergendala dalam tempoh yang lama.
“Projek itu kini kembali giat dijalankan hasil kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Selain itu, pembatalan konsesi air oleh kerajaan Warisan telah memburukkan lagi krisis bekalan air di Sabah, sehingga menyebabkan kerajaan negeri berdepan saman berjumlah RM315 juta,” katanya.
Azrul turut menambah bahawa pentadbiran lalu gagal mempertahankan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), yang sepatutnya meningkatkan keupayaan tenaga di kawasan Pantai Timur seperti Sandakan dan Tawau.
Kegagalan ini katanya, menyebabkan isu bekalan elektrik di kawasan berkenaan tidak dapat diselesaikan.
“Semua kegagalan ini diwariskan kepada kerajaan hari ini. Namun, kerajaan telah mengambil tanggungjawab untuk memulakan semula serta meneruskan projek air dan elektrik, di samping memastikan pembinaan Pan Borneo berjalan dengan segera dan siap dalam tempoh yang ditetapkan,” tegasnya.
Azrul menegaskan bahawa kesinambungan pembangunan hanya dapat dicapai jika kerajaan negeri sekarang diberi mandat untuk meneruskan legasi pembangunan yang sedang berjalan.
“Insya-Allah, dengan komitmen ini, isu-isu legasi yang sekian lama membelenggu rakyat Sabah akan dapat diselesaikan,” ujarnya.
Krisis bekalan air dan elektrik serta kelewatan projek lebuh raya merupakan antara isu utama yang membelenggu rakyat Sabah sejak sekian lama, dan sering menjadi tumpuan kempen politik menjelang pilihan raya negeri.
Kenyataan Azrul ini dilihat sebagai isyarat bahawa parti pemerintah negeri mahu rakyat menilai semula rekod pentadbiran lalu berbanding usaha penyelesaian yang kini sedang dilaksanakan.






