Tambahan Rumah Mesra SMJ Bukti Keprihatinan Kerajaan GRS – Nizam

Tambahan Rumah Mesra SMJ Bukti Keprihatinan Kerajaan GRS – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Inisiatif kerajaan negeri menambah 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan disifatkan sebagai langkah nyata keprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap nasib rakyat, khususnya golongan belia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penambahan itu menjadikan keseluruhan 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap DUN di seluruh Sabah.

Menurut beliau, langkah ini memberi kelegaan besar kepada anak muda yang baru mendirikan rumah tangga dan berdepan tekanan kos sara hidup serta kekangan tempat tinggal. 

“Tambahan unit ini bukan sahaja meringankan beban belia, malah menjadi simbol keberkesanan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, projek Rumah Mesra SMJ mencerminkan keberanian dan keikhlasan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Katanya lagi, pendekatan kerajaan negeri menggabungkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta merupakan langkah strategik yang mempercepatkan pelaksanaan projek, di samping memastikan sumber kewangan negeri dapat difokuskan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah membuktikan bahawa agenda SMJ bukan sekadar slogan, sebaliknya satu pelan tindakan yang dilaksanakan secara konsisten dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat,” tegasnya.

Beliau menyeru rakyat Sabah, khususnya golongan muda, melihat inisiatif ini sebagai bukti jelas bahawa kerajaan GRS bekerja dengan ikhlas dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar berpolitik atau menabur janji.