Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi menegaskan bahawa kekuatan jentera pilihan raya terletak pada fokus terhadap matlamat besar dan disiplin berstrategi, bukannya sekadar keaktifan atau populariti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengukuhan Jentera Gagasan Rakyat Darau hari ini, sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Pilihan raya lima tahun sekali. Kalau kita terlepas, kita kena tunggu lagi lima tahun. Adakah itu yang kita mahu? Jadi, fokus kepada matlamat besar. Bila kita satu hati, insyaAllah, kemenangan akan jadi milik kita,” tegasnya.
Razali yang juga Setiausaha Agung parti, mengingatkan semua ahli dan penyokong agar tidak leka dengan imej keaktifan atau pujian semata-mata, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap jumlah undi sebenar yang boleh diperoleh daripada setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kita dilihat sebagai parti paling aktif, betul. Tapi jangan syok sendiri, jangan minta puji, di hujungnya belum tentu. Yang penting adalah sekeping kertas undi bertanda ‘X’ untuk GRS,” katanya.
Beliau menekankan keperluan untuk bergerak secara sistematik, mengenal pasti pengundi yang belum didekati dan menggerakkan kempen akar umbi secara menyeluruh.
“Malam-malam di kedai kopi bukan untuk cerita hal orang, tapi untuk cari undi. Rajin tidak menjamin kemenangan, tapi yang menjamin kemenangan ialah undi sebenar daripada 33,000 pengundi Darau,” jelasnya.
Razali turut menyeru semua jentera untuk memberi keutamaan kepada arahan Pengarah Pilihan Raya Bahagian, agar semua gerak kerja pilihan raya dilakukan secara tersusun dan berdisiplin.
“Kalau mau menang, satu hati, dekau atai. Semua kita tinggalkan, fokus GRS, GRS, GRS. Itulah yang kita bawa ke setiap pelosok kampung,” katanya.
Antara kawasan tumpuan disebut beliau termasuk Kampung Likas, Bangka-Bangka, Rampayan, Darau, Kalansanan, Warisan dan Kemberian, yang menjadi benteng kekuatan Gagasan Rakyat di Darau.
Dalam ucapannya, Razali turut mengingatkan jentera supaya tidak terpengaruh dengan dakyah media sosial, sebaliknya kekal aktif turun padang mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Jangan terpengaruh dengan TikTok, jangan terpengaruh dengan Facebook kerana yang betul adalah orang yang turun ke kampung, mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat,” tegasnya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kemenangan hanya akan tercapai melalui kekuatan akar umbi, keikhlasan berkhidmat, serta keberkatan Allah SWT.
“Insya-Allah, kalau kita bersedia dengan keredaan dan rahmat Allah, insyaAllah Darau kita menang,” katanya.






