KOTA KINABALU, SABAH – Satu kluster baharu dikesan di negeri ini, tetapi jumlah kes baharu COVID-19 Sabah menurun 49 kes daripada sebelum ini (Khamis) dengan mencatatkan 199 KES pada kelmarin (Jumaat).
Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun turut melaporkan ENAM (6) kematian masing-masing di daerah Sandakan, Kunak, Putatan, Papar, Lahad Datu dan Kota Belud.
Beliau memaklumkan ‘Kluster Pintas’ yang tercetus di Lingkudau, Keningau dan merebak ke Tambunan merupakan kluster di tempat kerja.
“Kluster ini melibatkan Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di daerah Keningau dan Mukim Sunsuron di Daerah Tambunan.
“Kes indeks adalah pegawai eksekutif wanita, 34, di syarikat bekalan elektrik Keningau yang disahkan positifmelalui saringan bergejala di pada 15 Jun di Poliklinik TMC…
“Susulan kes itu, saringan kontak yang dijalankan terhadap 82 individu berjaya mengesan dua (2) kes dalam kalangan kontak rapat di tempat kerja pada Selasa.
“Pada hari berikutnya, enam (6) lagi kes positif dilaporkan merangkumi satu (1) kes hasil saringan kontak rapat di Poliklinik TMC dan lima (5) kes positif kontak rapat melalui aktiviti lapangan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau.
“Turut dikesan, satu (1) kes positif RTK-Ag yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Tambunan pada hari yang sama, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 10 kes,” katanya.
Berdasarkan maklumat ruang tempat kerja yang sempit dipercayai menjadi punca penularan jangkitan.
Sementara itu, Pasukan Gerakan Marin PDRM mendirikan pos kawalan di Kuala Sungai Kinarut untuk memantau pergerakan bot di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Gusi dan Skim Penempatan Kinarut.
Masidi berkata ini bagi memastikan kawalan penularan COVID-19 dibendung ke tahap maksimum.
“Bermula hari ini, pos kawalan yang beroperasi 24 jam sepanjang tempoh PKPD itu bertujuan menyekat sebarang cubaan keluar menggunakan jalan air oleh penduduk di kawasan yang dikenakan PKPD,” Masidi berkata.