POLITIK SOPAN SANTUN, PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN ACUAN PENTING UNTUK SABAH: KM HAJIJI

POLITIK SOPAN SANTUN, PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN ACUAN PENTING UNTUK SABAH: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bergambar bersama pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) setibanya di majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

PENAMPANG, SABAH -Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus menekankan kepentingan prinsip politik sopan-santun, politik perpaduan dan politik pembangunan sebagai acuan dalam membawa Sabah ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau berpendirian tiga prinsip itu penting untuk dipelihara dan terus diamalkan sesuai dengan cara hidup orang Sabah yang ramah tamah, bertoleransi dan berharmoni.

Beliau berkata, sejajar dengan cara hidup orang Sabah itu, rakyat pelbagai etnik di negeri ini wajib menyemai dan menyuburkan semangat ‘ethnic trust building’ bagi mengekalkan kerukunan dan suasana harmoni dalam kehidupan masyarakat.

“Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuhnya.

“Kita juga mahukan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa perlu ada rasa takut atau terancam dalam menjalani kehidupan.

“Semua keinginan ini hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita aman dan stabil, rukun dan damai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Hajiji turut menekankan kepentingan kestabilan politik sebagai asas kepada kemajuan, kesejahteraan sesebuah negeri dan negara dalam konteks berkerajaan.

“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal angan- angan. Kestabilan politik sukar untuk dicapai jika pemimpin bercerai-berai.

Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat saling bersengketa dan berbalah, yang akhirnya membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kehancuran,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata dalam konteks keluarga besar GRS yang terdiri daripada pelbagai parti, meskipun berbeza latar belakang perjuangan, semua parti komponen berkongsi objektif yang sama atas nama negeri dan rakyat Sabah.

“Menjelang pilihan raya nanti, kita akan terus menawarkan parti kita dan gabungan kita kepada rakyat kerana masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta ini.

“Sebagai kerajaan pilihan rakyat, GRS-PH Plus adalah platform terbaik untuk kita memantapkan gabungan demi meneruskan agenda perjuangan,” katanya.

Hajiji berkata, PRN17 menuntut usaha bagi memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan GRS-PH Plus sebagai pilihan terbaik untuk seluruh rakyat.

Beliau memberi jaminan gabungan GRS-PH Plus bukan saja berupaya dan berkebolehan, malah ikhlas dalam perjuangan yang mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan menyandarkan harapan.

Mengenai persidangan PBS, Hajiji mengakui perhimpunan di Hongkod Koisaan menyerlahkan kedudukan parti itu sebagai antara parti komponen GRS paling kanan yang diyakini berupaya menyumbang idea bernas dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kerajaan.

Katanya, PBS yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelortetapi penuh dengan warna-warni.

“Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik, termasuklah parti PBS ini sendiri, kerana PBS adalah ‘part and parcel of Sabah Politics’, yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah pengasas PBS, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan semua presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).