KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menolak sekeras-kerasnya cadangan Kementerian Dalam Negeri mewujudkan Kad Warga Asing sebagai dokumen pengenalan diri untuk golongan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah.
Timbalan Presiden, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata tindakan undang-undang tegas harus diambil ke atas PTI yang tidak mempunyai dokumen yang sah dan bukannya diberi Kad Warga Asing.
“Ini seolah-oleh memberi pengiktirafan kepada mereka. Bagi seseorang warga asing, adalah mencukupi dengan passport atau pas kerja sebagai dokumen pengenalan diri…
“Kami akan sentiasa mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah. PBRS bersama dengan suara rakyat Sabah akan terus menggesa Kerajaan untuk bertindak tegas dalam menyelesaikan isu PTI yang sudah sekian lama membelenggu negeri ini,” katanya.
Arthur berkata demikian dalam ucapannya semasa Mesyuarat Perwakilan Tri-Tahunan pada Sabtu baru-baru ini.
Katanya PBRS turut menyokong pelaksanaan Akta Anti-Lompat Parti dan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal…
“Langkah ini akan menjadikan politik negara lebih matang dan berintegriti. Menghadkan tempoh perkhidmatan akan memberikan tekanan yang lebih kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan dasar-dasar negara yang lebih berkesan serta sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang lebih efisyen kepada rakyat.
“PBRS menggesa agar akta ini dibentang dan diluluskan di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke 15 untuk meningkatkan integriti demokrasi negara. Para perwakilan turut bersetuju agar amalan tersebut turut dikuatkasakan di peringkat negeri Sabah dengan menghadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja,” tambahnya.
Dalam hal itu, beliau berkata PBRS akan terus setia sebagai parti gabungan Barisan Nasional yang “terbukti pilihan yang terbaik untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara”.
“Kestabilan politik amat penting dan lebih diperlukan pada masa negara sedang berhadapan dengan ancaman kesihatan dan cabaran ekonomi yang tidak menentu.
“PBRS akan terus bekerja demi memperjuangkan pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Masih ramai rakyat Sabah mahu bersama BN dan PBRS merupakan pilihan terbaik untuk disertai dan mewakili suara masyarakat terutamanya masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus,” ujarnya.