JAKIM Sedia Lebih RM67 Juta Untuk Pembangunan Umat Islam di Sabah

JAKIM Sedia Lebih RM67 Juta Untuk Pembangunan Umat Islam di Sabah

0
SHARE
Naim
Mohd Naim ketika berucap ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperuntukkan RM67,147,410 bagi pelaksanaan beberapa inisiatif termasuk penyaluran imbuhan bulanan imam, elaun guru takmir, elaun bulanan guru KAFA dan bayaran khas secara sekali bayar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah peruntukan setahun itu adalah bagi membiayai sebanyak 8,730 penerima yang turut melibatkan caruman Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS) bagi orang bekerja sendiri.

“Bagi imbuhan bulanan imam adalah sebanyak RM850 berjumlah RM17,329,800 setahun melibatkan 1,699 orang penerima, elaun bulanan guru takmir sebanyak RM900 berjumlah RM4,546,800 setahun bagi 421 orang penerima.

“Manakala elaun bulanan guru KAFA sebanyak RM1,261.35 berjumlah RM37,689,138 setahun bagi 2,490 penerima dan bayaran khas sekali bayar sebanyak RM700 berjumlah RM6,111,000 setahun kepada 8,730 penerima.

“Turut diberikan adalah caruman PERKESO sebanyak RM232.80 berjumlah RM1,452,672 setahun bagi 6,240 penerima,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Madani Ulama Dan Umara (JMUU) Peringkat Negeri Sabah 2024 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pada Isnin.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Mohd Naim turut memaklumkan Pelan Transformasi Al-Falah akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri termasuk di negeri Sabah.

“Terdapat 31 program utama merentas 5 Teras Pelan Transformasi Al-Falah dan kesemuanya disusun untuk mencapai Malaysia MADANI,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Mohd Naim turut menyaksikan penyampaian anugerah Tokoh Imam Mithali Sabah kepada Imam Daerah Papar, Japar Abdullah manakala Tokoh Guru Takmir Mithali diberi kepada Awaluddin Nasution dan Norsiah Ag. Tanga dianugerahkan Tokoh Guru KAFA Mithali. — JABATAN PENERANGAN SABAH