KOTA KINABALU, SABAH – Sabah menerima peruntukan RM558,656 Skim Pinjaman Buku Teks Kelas Al-Quran Fardhu Ain (KAFA) bagi golongan B40 tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata peruntukan daripada Yayasan Taqwa tersebut diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Pendidikan KAFA adalah antara perkara yang sentiasa diberikan penambahbaikan demi anak-anak kita.
“Begitulah juga penggunaan buku teks merupakan sumber terpenting dalam proses pengajaran dan pembelajaran KAFA yang seiring dengan pendidikan arus perdana.
“Sehingga kini, pembelian buku teks KAFA adalah menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa atau penjaga setiap murid yang mengikuti KAFA.
“Ini sedikit sebanyak telah menjadi beban kepada ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan terutamanya kepada golongan B40,” katanya semasa Program Jelajah Madani Ulama dan Umara’ (JMUU) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024, pada Isnin.
Beliau turut menjelaskan ketiadaan buku teks akan menyebabkan murid menghadapi masalah dalam mengulang kaji pelajaran khususnya kepada calon-calon yang mengambil peperiksaan Ujian Penilaian KAFA (UPKK).
“Terdapat ibu bapa atau penjaga yang tidak mampu membeli buku teks KAFA dan ini akan menyebabkan proses pembelajaran di dalam kelas terjejas kerana buku teks menjadi sumber rujukan utama kepada murid dan guru,” ujarnya.
Pada Februari 2022, Yayasan Taqwa melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan kewangan SPBT KAFA JAKIM bagi Sabah dan Sarawak berjumlah RM8,169,984 melibatkan seramai 6,190 murid B40, 2,490 guru KAFA dan 48 orang Penyelia KAFA. — JABATAN PENERANGAN SABAH