TAWAU: Polis berjaya memberkas seorang remaja warga asing yang disyaki mencuri beg berisi beberapa pakaian dan beberapa pasang kasut milik seorang lelaki di sekitar Bandar Tawau pada Khamis lalu (1 Feb).
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa warga tempatan berusia 29 tahun itu menyedari barang milik peribadi yang disimpan di ruang penyimpanan belakang kereta dan bertutup rapi dengan canvas telah hilang disyaki telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali.
Katanya, sebelum itu satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang menyatakan perkara yang sama.
Jelasnya, ketika kejadian, mangsa telah bermalam di Bandar Tawau setelah pulang dari bercuti kerana penat dan keesokan harinya apabila mangsa tiba di rumah menyedari canvas di bucket kenderaan mangsa tidak tertutup rapat.
“Pemeriksaan pada bucket belakang kenderaan mangsa mendapati, beberapa beg pakaian dan beberapa pasang kasut hilang dipercayai dicuri,” katanya.
Susulan itu, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya memberkas suspek di kawasan Blok 5, Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama kerana terlibat dengan kes yang disiasat.
“Kita berjaya memberkas seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun di kawasan Blok 5, Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama.
“Polis turut merampas tiga helai pakaian berjenama dipercayai milik mangsa,” katanya.