SANDAKAN, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah menahan sebuah vesel kargo tempatan kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah di perairan Sandakan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihak Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur / Op Khas Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Berhala.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit telah melakukan kesalahan kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menambah ruangan dan mengubah suai tangki simpanan minyak.
“Pemeriksaan lanjut seterusnya menemui barang kawalan bersubsidi disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 2,200 liter di dalam tangki minyak yang telah diubah suai.
“Susulan itu, dua lelaki warga tempatan berumur 40 dan 50 tahun ditahan pada pukul 9.50 pagi di kedudukan 1.2 batu nautika timur laut Pulau Berhala kerana gagal mengemukakan surat kebenaran atau dokumen yang sah untuk membawa barang kawalan tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurutnta, nilai rampasan termasuk barang kawalan dan vesel dianggarkan berjumlah lebih RM54,000.
“Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah,” tambahnya.